STRATEGI PENILAIAN
YANG DILAKSANAKAN OLEH GURU MATEMATIK KEPADA MURID
 
Menurut Syahrial et.
al (2019), strategi adalah
usaha yang dibuat untuk merancang pembelajaran bagi mencapai matlamat yang
telah ditetapkan. Strategi juga ialah perancangan, langkah dan siri untuk
mencapai matlamat pembelajaran (Yamin, 2013). Bagi penilaian pula, Stassen et
al. (2001), menyatakan bahawa penilaian ialah pengumpulan dan analisis maklumat yang sistematik untuk meningkatkan
pembelajaran murid. Maklumat penilaian boleh membantu guru dalam perancangan
dan pelaksanaan pengajaran ke arah yang lebih cekap dan berkesan (Wallace et
al., 1992). Ia turut disokong oleh Mok Soon Sang (2009) bahawa penilaian ialah
suatu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat
tentang strategi serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi membuat
analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk
merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan datang dengan cara yang
lebih berkesan. Oleh yang
demikian, strategi penilaian sangat penting bagi guru dalam menjalankan
pembelajaran dan juga penilaian pembelajaran kerana strategi yang tepat akan
membantu guru mencapai objektif pembelajaran dan mengetahui keupayaan pelajar
untuk memahami pembelajaran. Noraini Idris (2005) menyatakan bahawa kemahiran matematik
yang perlu dinilai dalam kurikulum Matematik sekolah adalah seperti:
1. Melakukan operasi asas
2. Membuat anggaran.
3. Mengukur
4. Mengendali data
5. Mewakili maklumat dalam bentuk graf dan carta.
6. Mengenal perkaitan dan mewakilinya secara Matematik
7. Menggunakan algorithma dan perkaitan.
8. Menyelesaikan masalah.
Terdapat 4 Strategi Penilaian yang boleh digunakan oleh guru, iaitu:
PENILAIAN
MELALUI PEMERHATIAN
Penilaian melalui pemerhatian merupakan satu proses
penilaian yang dilakukan secara berterusan mengikut jangka waktu yang
ditentukan, bagi membantu guru mendapat maklum balas tentang keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran, mengetahui apa yang pelajar tahu, serta bagaimana hendak melakukan
tugasan dalam masa sebenar. Aspek yang
diperhatikan adalah secara menyeluruh, meliputi aspek kognitif, afektif,
psikomotor dan faktor-faktor bahan dan persekitaran. Pemerhatian akan memberikan data bersifat objektif tentang kualiti
pencapaian murid termasuklah proses dan prosedur dalam menyiapkan tugasan
matematik dan cabaran yang di hadapi sepanjang proses berkenaan. Sebelum menggunakan strategi ini, guru perlu
memahami asas pemerhatian untuk memastikan penilaian ini berhasil. Antaranya
ialah menentukan dan menjelaskan hasil khusus untuk memerhati dan menilai tentang jenis tingkah laku, tindakan dan kemahiran matematik yang ingin
diperhatikan. Selain itu, guru harus membuat keputusan tentang berapa dan siapa
sasaran yang hendak diperhatikan dengan membuat pelan sampel.
Seterusnya, guru perlu membina sistem pengumpulan data dengan menyedikan borang pemerhatian untuk merekod tingkah laku, tindakan dan kemahiran matematik yang hendak dilihat menggunakan instrumen senarai semak, skala kadar, rekod anekdot, rekod profil dan lain-lain. Menurut Rohid & Rusmawati (2019), guru perlu memerhatikan aktiviti perbincangan murid dengan memberi tumpuan kepada bagaimana murid dapat menyatakan idea matematik, memahami, mentafsir dan menilai atau bertindak balas terhadap idea matematik. Akhir sekali, guru harus membuat ringkasan kepada hasil pemerhatian dengan jelas sebagai refleksi terhadap prestasi murid dan rujukan kepada guru untuk meningkatkan atau mengubah suai pengajaran pada masa hadapan. Guru boleh menjalankan strategi ini beberapa kali untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Hal ini demikian kerana, penilaian melalui pemerhatian di dalam kelas adalah alat yang berkuasa untuk guru menilai pembelajaran murid dan dapat mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mengambil risiko, meneroka idea, dan dialog yang tulen (Rohid & Rusmawati, 2019). Strategi ini juga disokong oleh Rahmad, R. (2021) yang menyatakan bahawa guru perlu melaksanakan pentaksiran pembelajaran secara bersemuka untuk mendapatkan penilaian yang lebih afektif . Namun begitu, guru juga hendaklah memastikan jangka masa pemerhatian adalah sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa serta mengelakkan bias semasa penilaian dek kerana hanya menilai melalui mata kasar dan persepsi guru itu sendiri. Contoh hasil kerja murid seperti buku skrap, pembinaan bahan 3D dan kerja kursus membolehkan guru menilai sikap serta penguasaan sesuatu kemahiran matematik yang diperlukan.
Rajah 2: Kelebihan penilaian melalui pemerhatian
PENILAIAN MELALUI LISAN
  
 Strategi penilaian secara lisan digunakan untuk mengumpul maklumat semasa
berlaku interaksi di antara murid dengan guru, murid dengan murid, serta murid
dengan bahan pembelajaran dari semasa ke semasa. Melihat tahap kefahaman
sesuatu konsep dan fakta matematik, kecekapan mencongak, kemahiran komunikasi
dan sikap terhadap matematik antara aspek matematik yang boleh dinilai secara
lisan. Kemahiran lisan boleh dinilai melalui aktiviti perbincangan, kuiz,
teka-teki dan juga soal jawab, contohnya dalam aktiviti soal jawab berkaitan
penyelesaian masalah. Penilaian lisan membolehkan guru
mengesan kemajuan dan pencapaian murid dalam kemahiran memberikan respons
secara spontan seperti kira cepat dan sifir. Iannone, P., Czichowsky, C., & Ruf, J. (2020)
berpendapat bahawa penilaian secara lisan dapat membantu guru untuk melihat
tahap kefahaman konseptual murid yang mendalam, bukannya sekadar mengingat dan
menghafal semata-mata. Sekiranya penilaian lisan dijadikan
penilaian utama, maka aspek-aspek penilaian haruslah mengandungi soalan yang
menunjukkan penilaian untuk pelbagai kemampuan dan aras murid serta
menunjukkan pemeringkatan dalam tahap kesukaran soalan selari dengan elemen
KBAT (Herry, 2017).
SOKONGAN KAJIAN LITERATURE
         Penyoalan
lisan sebagai suatu teknik pentaksiran formatif dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik sememangnya sangat berkait rapat terutama dalam membantu
meningkatkan pemahaman pelajar terhadap isi kandungan pelajaran serta
meningkatkan tahap pemikiran pelajar ke arah yang lebih tinggi (Idris, 2005).
Wilen (1991) dalam buku beliau yang bertajuk Questioning Skills For
Teachers menyatakan bahawa hampir 80 peratus purata aktiviti
persekolahan harian dipenuhi dengan soalan guru dan juga jawapan daripada
pelajar. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa penyoalan lisan
digunakan secara meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan ia sudah
pasti mempunyai peranannya yang tersendiri dalam memastikan sesuatu objektif
pembelajaran dapat dicapai (Rohaya Talib, Mohd Zaki Kamsah, Hamimah Abu Naim,
2014). Di samping itu, penggunaan penyoalan lisan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik akan menjadi asas dan landasan kepada pelaksanaan
pentaksiran formatif yang berkesan (Jamaluddin, 2007). Pengajaran dikatakan
tidak bermakna tanpa aktiviti penyoalan lisan. Hal ini bertepatan dengan
dapatan kajian Clark (2012) yang menyatakan bahawa penyoalan lisan menyediakan
landasan kepada guru dalam mengumpul maklumat secara holistik meliputi aspek
pengetahuan, sikap, kemahiran dan nilai.
           Sebagai
tambahan, penggunaan penyoalan lisan sebagai suatu teknik dalam pentaksiran
formatif membolehkan guru berinteraksi secara langsung dengan pelajar serta
membolehkan guru memahami situasi sebenar jawapan yang diberikan oleh pelajar
berdasarkan persekitaran, latar belakang sosioekonomi pelajar malah turut
dilihat daripada aspek jantina (Shahrill, 2013). Hal ini disokong oleh banyak
kajian antaranya Kim, Kwon, dan Cho (2011) serta kajian oleh Watt et al. (2012)
yang telah melaporkan bahawa komunikasi antara guru dan pelajar dipengaruhi
oleh jantina, kelas sosial dan juga persepsi guru terhadap kebolehan pelajar.
Maklumat yang diperoleh melalui aktiviti penyoalan guru dan jawapan pelajar
secara langsung menyediakan platform yang lebih baik kepada guru dalam
mengumpul maklumat, membuat penilaian dan keputusan bagi menambah baik
pembelajaran pelajar (Graham et al., 2011).
Teknik penyoalan memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadikan penilaian secara lisan berjalan dengan berkesan. Antara teknik penyoalan tersebut ialah:
PENILAIAN
MELALUI BERTULIS
Tujuan utama
penilaian secara bertulis ialah untuk mengesan kemhiran intelek murid yang
meliputi kemahiran melakukan operasi asas, menyusun idea, mengaplikasi,
mantafsir, menilai dan membuat keputusan. Bagi memastikan penilaian ini
berjalan dengan lancar, guru perlu memastikan item penilaian meliputi:
1. Menepati kemahiran matematik yang hendak dinilai.
2. Sesuai dan mudah difahami.
3. Bilangan soalan yang sesuai dengan tempoh masa yang diperuntukkan.
4. Aras kesukaran soalan dipelbagaikan mengikut kebolehan murid.
5. Bentuk instrumen penulisan dikenal pasti terlebih dahulu sama ada ditadbir secara individu atau kumpulan.
Pentadbiran penilaian dengan kaedah penulisan ini bergantung kepada kreativiti untuk menyediakan instrumen bertulis kepada murid. Contohnya, lembaran kerja, Kuiz bertulis atau penyoalan bertulis secara maya. Menurut Rafiee Jamian et. al (2020) menyaran kepada guru matematik untuk membimbing murid menggunakan medium komunikasi yang boleh di akses oleh murid melaksanakan penilaian secara bertulis. Antara salah satu daripada aplikasi yang dicadangkan oleh bahagian KPM adalah aplikasi Quizizz yang boleh diperolehi secara langsung atau melalui medium Google Classroom. Quizizz adalah salah satu alat penilaian pembelajaran berasaskan permainan yang membantu memantau pemahaman murid (Jamian et.al, 2020). Ia juga adalah salah satu kaedah bagi pengajar untuk mendapatkan data markah murid selain daripada menggunakannya untuk mewujudkan kelas yang lebih dinamik. Selain itu, guru menggunakan lembaran kerja semasa aktiviti pembelajaran di dalam kelas. Guru boleh menyemak cara penulisan algorithma dan mengesan kesalahan atau kecuaian yang wujud. Berdasarkan semakan tersebut, guru boleh menjalankan kajian tindakan dan inovasi untuk mengukuhkan kefahaman tersebut.
_____________________________________________________________
PENILAIAN KENDIRI
Penilaian kendiri  ialah guru meminta  murid 
menilai  kerja mereka sendiri
berdasarkan bukti dan kriteria yang jelas bagi tujuan meningkatkan prestasi
masa depan (Daniel, 2010). Guru-guru bersetuju bahawa murid melaksanakan penilaian  kendiri di dalam bilik darjah adalah satu
alat yang penting bagi meningkatkan prestasi 
akademik  dan  kemampuan. 
Penyelidik Daniel (2010) telah 
mengkaji penggunaan  
penilaian   kendiri   ke  
atas   dua kumpulan   murid di mana satu kumpulan murid akan
menggunakan  rubrik  untuk 
menilai  hasil  kerja 
sendiri  manakala satu  kumpulan 
lagi  tidak.  Hasil kajian 
membuktikan kepada  empat  hujah seperti 
yang  dinyatakan  oleh 
Rolheiser  dan  Ross 
(2001).  Mereka menyatakan bahawa pembelajaran
murid  bertambah  baik 
dengan adanya penilaian kendiri kerana menepati objektif pembelajaran
yang hendak  diukur,  guru 
mendapat  maklumat  yang 
mencukupi  dalam penilaian sesuatu
tajuk, murid akan menumpukan perhatian kepada objektif  yang 
diukur  dan  motivasi 
murid  dapat  dipertingkatkan. 
Black dan
William (1998) juga menyokong bahawa  penilaian  kendiri 
membolehkan  murid memahami  tujuan 
pembelajaran  mereka  dan 
mengetahui  apa  yang mereka perlu mencapai. Penglibatan murid
dalam penilaian mereka sendiri boleh menambah refleksi dan metakognitif
kepada proses pembelajaran (Gunawardena Egodawatte, 2010). Guru boleh
membina instrumen soal selidik beserta penilaian rubrik untuk mereka mengukur
penilaian kendiri terhdap pembelajaran mereka pada waktu tersebut. Murid boleh
menggunakan rubrik sebagai alat pembelajaran manakala guru menjadikan  ia sebagai alat mengajar. Rubrik dapat membantu
guru menganalisis dan menghuraikan jawapan murid bagi  tugas 
yang  kompleks  dan 
menentukan  tahap kemahiran  mereka. 
Di samping  itu,  rubrik 
memberi kriteria  yang lebih
khusus kepada murid mengenai apa objektif yang diharapkan. 
Meier et al.
(2006) melaporkan bahawa terdapat satu kajian guru sekolah menggunakan rubrik
ke atas murid untuk menilai tugas mereka. Guru menggunakan rubrik pemarkahan analitik yang
menggariskan tiga kategori untuk penilaian iaitu pengetahuan Matematik,
Pengetahuan Strategi, dan penjelasan. Ketepatan matematik dan istilah
Matematik ialah berkaitan dengan pengetahuan Matematik, manakala pengetahuan
strategik adalah mengenal pasti masalah yang berlaku dan perbincangan mengenai  cara-cara 
penyelesaian.  Bagi kategori penjelasan
pula, murid perlu menerangkan apa yang telah dilakukan, dan perbincangan
mengapa ia dilakukan  dengan  penjelasan 
bertulis  bagi  gambar 
rajah  atau jadual. Berdasarkan
kajian-kajian yang dilaporkan, matlamat utama penilaian kendiri adalah untuk
meningkatkan pembelajaran murid dan ia tidak akan digunakan untuk tujuan penggredan. 
APAKAH AKTIVITI PBD????



 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan