Instrumen yang digunakan bagi menjalankan
proses penilaian dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik.
Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2017,
instrumen merujuk kepada alat, dokumen rasmi yang mengikut peraturan tertentu
dan digunakan oleh seseorang. Dalam sesuatu penilaian dalam pengajaran dan
pembelajaran Matematik instrumen dirujuk kepada alat yang dibina dan digunakan
oleh guru untuk mentafsir dan menilai murid berdasarkan objektif pembelajaran
yang ditetapkan. Instrumen digunakan untuk mendapatkan informasi berkaitan
pencapaian dan prestasi murid dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran dengan
tepat. Penerangan ini dijelaskan oleh Dr.Mohamed Bin Abu Bakar Pengarah
Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM tahun 2019 di mana beliau menyatakan bahawa
instrumen yang digunakan dalam penilaian membantu guru untuk mengenalpasti
kemenjadian murid dengan tepat. Instrumen
ini juga membantu guru untuk membuat refleksi berkaitan strategi pengajaran dan
memberi idea kepada mereka untuk mempelbagaikan kaedah pentaksiran serta kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap penguasaan murid.
Selain itu, dalam buku Panduan Pelaksanaan
Pentaksiran Bilik Darjah edisi ke-2, instrumen digunakan alam sesuatu penilaian
untuk mendapatkan maklum balas berkaitan perkembangan pembelajaran murid dan
keberkesanan pedagogi. Maklumat yang diterima menerusi penilaian digunakan
untuk merancang tindakan susulan sama ada semasa pengajaran dan pembelajaran
atau selepas sesuatu pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Dari segi operasi
instrumen adalah alat (tools) dimana respons murid direkod untuk dinilai bagi
menentukan kemajuan murid dari aspek kognitif, pengetahuan, kemahiran dan
nilai. Penyelidik Johari Bin Hassan ada menyatakan pendapat tokoh Baharuddin et
al. (2002) dalam kajian yang bertajuk Pembinaan Instrumen Penilaian Untuk
Menilai Perisian CDROM Interaktif (CDRI) Matapelajaran Fizik Sekolah Menengah
Kebangsaan.
Menurut Baharuddin et al. (2002) secara
umumnya terdapat empat jenis penilaian yang utama dalam pembangunan perisian
iaitu penilaian formatif, penilaian sumatif, penilaian iluminatif, dan
penilaian integrative. Terdapat pelbagai bentuk instrumen berasaskan strategi
penilaian yang digunakan. Dalam majalah Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik
Darjah edisi ke-2 instrumen pentaksiran yang digunakan bergantung kepada
aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dan kaedah pentaksiran yang
dipilih oleh seorang warga pendidik. Contoh instrumen juga dijelaskan dalam
buku tersebut iaitu kertas ujian, anekdot, soal selidik, lembaran kerja, rekod
berterusan, skala kadar dan juga senarai semak. Instrumen yang dinyatakan
seperti di atas sudah tentunya boleh digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran Matematik. Instrumen berbeza mengikut penilaian formal dan
penilaian tidak formal. Dalam penilaian formal instrumen yang dibentuk adalah
khusus bagi penilaian formatif dan sumatif. Contoh instrumen merupakan lembaran
kerja, ujian bulanan, buku skrap merupakan instrumen bagi ujian formatif
manakala peperiksaan akhir tahun, peperiksaan awam merupakan contoh insterumen
bagi penilaian sumatif. Jadual Spesifikasi Ujian digunakan untuk membina item
dalam peperiksaan yang digunakan untuk menilai tahap penguasaan murid dan
keberkesanan kaedah pengajaran Matematik.
Penyelidik Mohd Fakhrudzafie (2010)
menerangkan penggunaan Jadual Spesifikasi Ujian dalam kajian beliau yang
bertajuk Persepsi Guru Terhadap Penggunaan JSU dalam Membina Ujian di mana
pembinaan JSU dapat membantu guru mengenalpasti kemahiran atau objektif yang
hendak diuji. Dengan menggunakan JSU seorang guru Matematik atau pembina ujian
akan dapat merancang topik atau kemahiran yang hendak diuji dalam item
berdasarkan tahap kognitif yang dicadangkan dalam Taksonomi Bloom (Pusat
Perkembangan Kurikulum (PPK), 2001). Tahap Kognitif Bloom yang digunakan dalam
JSU ialah pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Dalam
kajian yang bertajuk Pembinaan Instrumen Pencapaian Awal Matematik untuk
Kanak-kanak Prasekolah yang dikaji oleh penyelidik Connie (2021), telah
menggunakan instrumen ujian pencapaian awal Matematik. Penyelidik telah membina
dua set instrumen pencapaian awal Matematik kanak-kanak prasekolah yang
diadaptasikan daripada Test of Early Mathematics Ability (TEMA) (Ginsburg &
Baroody, 2003) berdasarkan KSPK.
Instrumen-instrumen ini merupakan ujian
pra dan ujian pasca yang boleh digunakan untuk mengenal pasti kesan intervensi.
Penilaian tidak formal merujuk kepada pemerhatian yang menggunakan instrumen
senarai semak, rekod anekdot, skala kadar dan hasil kerja murid. Senarai semak
merupakan indikator yang digunakan untuk membuat penilaian secara pemerhatian.
Senarai semak merupakan senarai item yang disediakan untuk mengenal pasti
perkembangan dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan. Senarai
item yang disediakan adalah untuk menentukan sama ada sesuatu tingkah laku yang
diperhatikan dan kekerapan sesuatu tingkah laku murid yang diperhatikan.
Senarai semak disediakan lebih awal sebelum pemerhatian dibuat dan tingkah laku
yang hendak diperhatikan dinyataka dengan ringkas dan jelas. Di samping itu,
hanya kemahiran tertentu sahaja yang dinyatakan dalam senarai semak. Item
disusun mengikut pemeringkatan supaya dapat memperlihatkan perkembangan tingkah
laku yang hendak dinilai. Senarai semak digunakan untuk melaksanakan
pemerhatian untuk beberapa kali bagi mendapatkan hasil yang tepat. Pemerhatian
sesuai digunakan untuk mentaksir proses dan hasil kerja murid seperti
penghasilan lukisan, buku skrap, kraf tangan, produk atau kerja kursus.
Pemerhatian ini juga membolehkan guru menilai sikap serta penguasaan sesuatu
kemahiran.
Rajah 1: Contoh Senarai semak yang digunakan dalam kajian
Selain itu, anekdot merujuk kepada catatan mengenai
peristiwa atau tingkah laku murid yang dianggap penting dan signifikan untuk
direkod. Anekdot ditulis secara objektif untuk menerangkan persoalan yang
berlaku semasa ingin membuat penilaian di dalam bilik darjah. Guru perlu
membuat pemerhatian terhadap peristiwa yang berlaku dan mengenal pasti
peristiwa yang signifikan kepada aspek perkembangan murid sewaktu pengajaran
dan pembelajaran Matematik berlangsung. Guru juga perlu membuat catatan dalam
buku nota supaya insiden yang akan direkodkan tidak tercicir. Rekod hasil
pemerhatian sebaik sahaja selesai pemerhatian dibuat. Guru juga boleh
memasukkan respons orang lain sekirannya ada kaitan dengan tingkah laku murid
yang diperhatikan.
Rajah 2: Contoh rekod Anekdot yang digunakan
Instrumen rekod berterusan pula merujuk kepada catatan
dalam bentuk cerita yang dibuat ke atas murid semasa berlakunya sesuatu peristiwa
sewaktu pdpc Matematik. Perlakuan atau pertuturan murid dicatat sepanjang
tempoh pemerhatian. Cadangan tempoh permerhatian adalah antara 3 hingga 5
minit. Fokus kepada murid yang hendak diperhatikan dan catatkan dengan jelas
setiap perlakiuan mengikut urutan. Semasa rekod berterusan guru perlu
menggunakan bahasa yang mudah difahami dan singkatan semasa mencatat. Guru juga
perlu menulis secara terperinci berkaitan tingkah laku yang diperhatikan. Rekod
ini perlu disimpan di tempat yang strategik dan sulit.
Rajah 3: Instrumen rekod berterusan
Di samping itu, instrumen berbentuk rubrik juga digunakan dan instrumen ini diaplikasikan dalam kajian yang bertajuk Pembinaan Instrumen Penilaian Kendiri Pembelajaran Algebra Tingkatan 4 (2016). Instrumen berbentuk rubrik diperkenalkan oleh Mohd Sahandri Gani et al., (2013). Menurut Wolf dan Stevens (2007), rubrik merupakan panduan permarkahan yang berguna bagi menilai produk dan prestasi murid. Menurut Bhahsah (2006), rubrik adalah panduan atau format untuk melakukan satu penaksiran bagi sesuatu perkara dan ia menjelaskan penskoran bagi sesuatu tahap pencapaian atau jawapan yang dikemukakan oleh murid bagi membina instrumen, penyelidik perlu mengenalpasti konstruk serta pembolehubah bagi setiap konstruk melalui tinjauan literatur terlebih dahulu. Rubrik yang dicipta secara teliti akan membantu guru untuk menilai kualiti pengajaran dan pembelajaran serta penguasaan murid secara khusus, mendalam dan konsisten (Normarinan et.al, 2021). Kemudian, penyelidik membentuk soalan bagi setiap pembolehubah serta trait bagi setiap soalan. Setiap soalan mempunyai empat pilihan yang berbeza bagi menjawab persoalan yang dikemukakan. Seterusnya, ia dipindahkan ke dalam rubrik bagi memudahkan murid untuk menjawab soalan berdasarkan skala yang diberikan.
Rajah 4: Contoh Rubrik yang digunakan dalam kajian
Guru
melaksanakan pentaksiran secara berterusan dalam PdP melalui tiga kaedah iaitu
lisan, bertulis dan pemerhatian. Pentaksiran secara lisan boleh berlaku secara spontan semasa
PdP atau secara terancang melalui sesi soal jawab atau kuiz dalam bilik darjah.
Pentaksiran secara lisan merupakan satu kaedah pentaksiran yang mudah dan cepat
bagi mengesan perkembangan atau tahap penguasaan murid. Antara aspek yang boleh
ditaksir semasa melaksanakan pentaksiran secara lisan adalah kefahaman konsep,
pengetahuan fakta, kemahiran mendengar, sebutan berbahasa, kefasihan menghafal,
pertuturan dan sikap serta gaya persembahan murid. Pentaksiran secara lisan
digunakan untuk mengumpul maklumat semasa berlaku interaksi antara murid dengan
guru, murid dengan murid serta murid dengan bahan pembelajaran yang digunakan.
Rajah 5: Instrumen Lisan murid dengan guru
Dalam instrumen ini guru boleh berinteraksi dengan murid melalui
penyoalan dan membuat penialain secara teliti dengan memberikan komen kepada
respons murid untuk menggalakkan pembelajaran matematik yang berkesan.
Rajah 6: Instrumen Lisan murid dengan murid
Penilaian ini pula berlaku antara murid dengan rakan-rakannya dalam aktiviti kumpulan. Murid juga boleh membuat penilaian kendiri semasa berbincang bersama rakan-rakannya. Dalam suatu pdpc Matematik guru boleh memberikan situasi atau soalan yang membolehkan murid berkolaborasi bersama rakan-rakan yang lain serta dapat memberi komen serta jawapan bagi soalan yang diberikan.
Rajah 7: Instrumen Lisan murid dengan bahan pembelajaran
Guru membuat catatan pentaksiran berdasarkan
aktiviti seperti cerita, penyelesaian masalah, menggunakan wang atau jam dengan
berpandukan penyataan Standard Prestasi mengikut DSKP mata pelajaran Matematik.
Pentaksiran
secara lisan ini boleh dilaksanakan melalui aktiviti seperti soal jawab, memberi
respons, bacaan kuat, syarahan, perbahasan, bercerita, perbincangan, hafalan,
temu bual, deklamasi sajak, nyanyian dan sebagainya. Aktiviti secara lisan ini
boleh membantu para guru untuk mengesan kemajuan dan pencapaian murid dalam
kemahiran berkomunikasi. Pada masa yang sama, guru boleh mendapat maklumat
serta-merta tentang pengetahuan dan kefahaman murid. Seterusnya, guru boleh mengesan
kebolehan murid dalam kemahiran membaca serta kelancaran dalam sebutan. Instrumen
pentaksiran secara lisan boleh dipelbagaikan dan merangkumi soalan serta aktiviti
yang memerlukan respons murid dalam bentuk lisan. Dalam menyediakan instrumen,
guru perlu memastikan soalan, penyataan, ilustrasi dan bahan ransangan perlu
jelas dan merangsang murid untuk berfikir dan menaakul.
Kaedah pentaksiran secara bertulis pula dilaksanakan untuk mengesan kebolehan murid dalam menguasai kemahiran bertulis. Pentaksiran secara bertulis melibatkan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan atau hasil penulisan murid seperti karangan, laporan projek, kerja kursus,folio, latihan bertulis, buku kerja, ujian bertulis. Instrumen dalam pentaksiran secara bertulis digunakan untuk mengesan perkembangan intelek dan kemahiran murid dari aspek menulis, menyusun idea, mengaplikasikan, mentafsir, menilai serta mencipta. Kebanyakkan guru sering menggunakan instrumen lembaran kerja semasa menjalankan pentaksiran bertulis ini. Melalui kaedah ini, guru boleh menilai murid di dalam kelas dengan menyediakan lembaran kerja bagi kemahiran matematik yang telah diajar. Instrumen lembaran kerja ini boleh dibina menggunakan item objektif atau item subjektif. Item objektif Item yang mempunyai jawapan yang tepat, tertentu, spesifik dan mempunyai respons manakala Item objektif pula terdiri daripada soalan aneka pilihan, padanan, item betul atau salah dan juga item pelengkap. Item objektif boleh mengukur pengetahuan dan konsep yang kompleks dan boleh disemak dengan cepat. Item subjektif mempunyai respon atau jawapan yang terbuka. Item ini sesuai untuk mengukur tahap kognitif murid yang tinggi. Penilaian juga boleh dilaksanakan melalui aplikasi web yang menggunakan alat teknologi. Murid dapat dinilai sama ada dari sekolah mahupun di rumah dengan hanya menggunakan alat teknologi seperti komputer riba dan juga telefon mudah alih. Contohnya, aplikasi Quizizz yang digunakan untuk menjadikan pengajaran lebih menarik dan tidak membosankan. Ia juga membantu paru guru untuk membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran Matematik dengan mudah dan berkesan.
Jelas di sini bahawa
penggunaan instrumen dalam sesuatu penilaian Matematik memainkan peranan
penting bagi mendapatkan informasi berkaitan keberkesanan kaedah pengajaran
serta tahap pengusaan murid dengan tepat. Guru perlu memastikan bahawa
instrumen yang hendak ditadbir mempunyai kesahan, kebolehpercayaan,
kebolehtadbiran dan kebolehtafsiran yang baik. Apabila kita menilai murid, kita
perlu memastikan bahawa markah, band atau skor yang diberikan kepada setiap
murid betul-betul mencerminkan keupayaan dan dan tahap kebolehan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan